KUALA LUMPUR 27 Nov. — Bermula tahun hadapan, sebarang kutipan
bayaran tambahan oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) tidak lagi
dibuat pada awal tahun seperti kebiasaan, kata Menteri Pelajaran Datuk
Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Sebaliknya, kata Hishammuddin, Mesyuarat Jawatankuasa Penggal
Persekolahan 2009 pada Isnin lepas memutuskan bayaran tambahan itu akan
dikutip pada pertengahan tahun setelah mendapat persetujuan mesyuarat
PIBG.
“Melalui langkah ini, PIBG dan ibu bapa akan diberikan mandat dan
peluang untuk menentukan jumlah yang akan dikutip daripada ibu bapa.
“Selain mengurangkan beban tanggungan ibu bapa, langkah ini selaras
dengan usaha Kementerian Pelajaran mengupayakan peranan dan
tanggungjawab PIBG dalam membantu membangunkan sistem pendidikan
negara,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat
Duta Cuba ke Malaysia Carlos Alfredo di bangunan Parlimen di sini hari
ini.
Hishammuddin berkata, perkara itu diputuskan memandangkan situasi
ekonomi yang tidak menentu dan selepas membincangkan pendekatan terbaik
untuk mengurangkan perbelanjaan awal tahun ibu bapa dalam menanggung
perbelanjaan persekolahan.
Beliau berharap PIBG tidak seharusnya menjadikan keputusan kerajaan
itu satu isu kerana pada masa yang sama, kementerian terpaksa
menanggung peruntukan besar bagi sesi persekolahan 2009. - Bernama