GENTING HIGHLANDS 25 Nov. - Menteri Pelajaran, Datuk Seri
Hishammuddin Tun Hussein meminta golongan guru menjadikan Pelan Induk
Pembangunan Pendidikan (PIPP) sebagai satu mekanisme yang boleh
digunakan dalam menjana proses pembangunan sumber manusia.
Menurutnya, negara tidak boleh lagi bergantung sepenuhnya pada
sumber asli dan bahan mentah tetapi perlu memfokuskan kepada aset
sumber manusia yang terhasil daripada sistem pendidikan.
''Kita berpeluang mencapai kemajuan dengan cepat kerana Malaysia
sudah mempunyai sistem pendidikan dan persekolahan yang baik, oleh itu
kelebihan ini perlu digembleng secara bersepadu menerusi pelaksanaan
PIPP,'' katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Konvensyen Nasional Kedua PIPP di Institut Aminuddin Baki (IAB) di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Tan Sri Dr. Zulkurnain Awang.
Dalam menjayakan pelaksanaan PIPP, Hishammuddin mengakui beberapa
elemen penting seperti akses dan ekuiti perlu diberi penekanan supaya
peluang pendidikan dapat dibuka kepada semua golongan.
''Masalah kemiskinan dan faktor lokasi sering menjadi penghalang
kepada asas kecemerlangan pelajar kita terutamanya di kawasan luar
bandar dan pedalaman.
''Adakah mereka juga mempunyai keyakinan yang sama untuk turut
bersaing jika berpeluang mendapat pendidikan seperti pelajar di bandar
walaupun mendapat kemudahan yang lengkap,'' ujarnya.
Selain itu, beliau juga mahu kecekapan dalam sistem penyampaian ditingkatkan di semua peringkat dan bahagian.
''Pemimpin atau pengurus pendidikan perlu bijak memperkenalkan
inovasi terbaru dalam sistem penyampaian untuk disalurkan kepada mereka
yang berada di peringkat bawahan,'' katanya.
Menurutnya, identiti negara bangsa juga perlu diterapkan di dalam
konsep pelaksanaan PIPP kerana ia mampu melahirkan masyarakat yang
bersatu padu.
Hadir sama pada konvensyen empat hari bermula semalam itu ialah Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom.
Dianggarkan seramai 200 peserta dari peringkat Kementerian
Pelajaran, Jabatan pendidikan negeri serta daerah dan
institusi-institusi pendidikan hadir ke konvensyen tersebut.
Pada majlis itu, Zulkurnain turut melancarkan buku Modal Insan
Cemerlang: Minda Kelas Pertama yang dihasilkan oleh kakitangan IAB.